Akhirnya pelakon dan penerbit A.Aida, 41, sah bercerai dengan suaminya Deputi Superintenden (DSP) Suffian Sulaiman, 44, dengan talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 2 Mei (Khamis).
Suffian melafazkan cerai di dalam kamar di hadapan Hakim Syarie Umamuddin Yunus. Mahkamah memerintahkan A.Aida untuk menjalani tempoh edah selama tiga bulan bermula Khamis lepas. Suffian pula diperintahkan untuk membayar edah sebanyak RM3,000 kepada A.Aida (plaintif). Suffian juga bersetuju untuk memberikan nafkah anak sebanyak RM300 sebulan.
A.Aida dan Suffian di saat bahagia.
Mahkamah juga memberi hak penjagaan kekal anak lelaki mereka iaitu Muhammad Rahul, yang berusia empat tahun kepada A.Aida. Suffian pula mendapat hak lawatan dan bermalam dua kali sebulan pada setiap Sabtu dan Ahad. Mahkamah turut bersetuju dengan permohonan A.Aida untuk memberi sebuah rumah yang didaftarkan secara bersama dengan Suffian kepada anak lelaki mereka itu.
A.Aida yang mohon cerai
Sebelum ini A.Aida memfailkan perceraian. Namun perceraian mereka tertangguh apabila Suffian dikatakan membuat beberapa tuntutan yang dianggap oleh A.Aida sebagai 'keterlaluan dan melampau'. Masalah tersebut menyebabkan A.Aida memfailkan fasakh (isteri menceraikan suami) di mahkamah pada 2 November 2012. Namun apabila perceraian secara baik berjaya dilakukan, A.Aida menarik semula permohonan fasakh tersebut.
Suffian berhasrat nak kasi talak tiga
Suffian memberitahu pihak media yang dia pada asalnya ingin melafazkan cerai dengan talak tiga namun dilarang oleh mahkamah. Suffian berkata, dia ingin melafazkan talak tersebut kerana tidak mahu ada apa-apa kaitan lagi dengan bekas isterinya itu.
"Saya tidak mahu lagi kembali kepadanya (Aida). Cukup sampai di sini sahaja dan sebab itu saya mahu cerai talak tiga tetapi mahkamah tidak membenarkan saya berbuat demikian. Bagaimanapun saya bersyukur kerana semuanya telah selesai dengan baik pada hari ini (Khamis) dan fokus utama sekarang adalah untuk sama-sama membesarkan anak kami," kata Suffian.
"Suatu penghinaan kepada wanita," kata A.Aida
A.Aida kata dia terkejut dengan tindakan Suffian yang ingin menceraikannya dengan talak tiga. Bagi A.Aida tindakan Suffian itu sengaja ingin menghinanya sebagai wanita.
Trivia
Nama betul A.Aida ialah Zaidah Awang. A.Aida ialah bekas isteri vokalis kumpulan Spring iaitu Ameng. Mereka berkahwin pada 1994 dan bercerai pada 2003. A.Aida berkahwin dengan Suffian yang bertugas sebagai Ketua Unit Perhubungan Korporat, Jabatan Logistik, Bukit Aman Kuala Lumpur, pada 20 April 2007. Suffian yang merupakan sorang duda sebelum ini turut mempunyai beberapa orang anak hasil perkahwinan terdahulu. Hasil perkahwinan itu mereka mendapat dua orang anak iaitu Wan Az Aleesa, 16, dan Wan Azevanatassha yang berusia 11 tahun. A.Aida juga pernah berkahwin dengan seorang anggota polis berpangkat biasa sebelum mengenali Suffian.
No comments:
Post a Comment