Apa sajalah tentang artis dan selebiri Malaysia masa kini.

Monday, 13 May 2013

Ain Nordin ada syarikat sendiri tapi nafi ditaja

Ain Nordin (Nurul Ain Nordin, 25) bukanlah pelakon terkenal. Publisiti pun kurang. Tapi dia kini sudah ada syarikat production sendiri dan telahpun menerbitkan sebuah filem sendiri iaitu Oh Mak Kau. Syarikat miliknya itu ialah Star Scope Production Sdn. Bhd.

Maka bertubi-tubilah orang kata yang dia ditaja sehingga mampu ada syarikat production filem sendiri dan dia dibiaya oleh pihak VVIP tertentu sehingga dia dapat menerbitkan sebuah filem.

Biasalah, kan, bila ada artis wanita tak terkenal secara tiba-tiba jadi usahawan, maka tuduhan-tuduhan macam ini akan keluar datang tanpa dijemput.

Sudah pastilah yang empunya diri akan menafikan itu dan ini. Ini plot biasa dalam dunia artis. Plot macam ni berulang-tayang sejak dulu hingga kini.

Ain Nordin kata di zaman sekarang ini usia muda bukan penghalang untuk memiliki sebuah syarikat dan kemudiannya boleh menerbitkan sebuah filem. Malah kata Ain lagi sejak dahulu lagi dia sudah bekerja keras menyimpan duit untuk membuka sebuah syarikat produksi. Memang benar dia tidak membuat sebarang pinjaman untuk terbitkan filem 'Oh Mak Kau' tetapi dia memiliki tiga orang rakan kongsi. Jadi kata Ain tiada istilah dia ditaja VVIP atau tidak. Semua itu mengarut, kata Ain Nordin. Tambah Ain lagi, seandainya masih lagi orang cuba mempertikaikannya lagi, dia tidak kisah asalkan kariernya tidak diganggu dengan kerja-kerja seninya yang juga sebagai pengarah dan pelakon. Dalam pada itu, Ain juga sudah bersedia dengan segala tohmahan dan kritikan yang bakal diterima selepas ini dan menganggap ia sebagai satu cabaran untuknya terus berjaya.

"Ketika awal kemunculan saya dalam industri filem, saya sudah menerima kritikan yang sangat teruk gara-gara penyebaran foto yang menampakkan sebahagian tubuh di bahagian belakang bagi poster filem Suatu Malam Kubur Berasap sekitar tahun 2011. Kemudian tidak lama selepas itu kontroversi kononnya saya dan Syamsul Yusof pula bercinta. Semua itu telah mengajar saya untuk jadi lebih kuat dan bersedia menghadapi segala cabaran. Insya-Allah setiap kritikan itu juga akan memberikan saya pengajaran agar menjadi seorang yang lebih baik di masa akan datang nanti," kata Ain Nordin.

Friday, 10 May 2013

Sharifah Aini kata wajahnya berubah kerana steroid

Penyanyi veteran Sharifah Aini dan berumur 59 tahun dah sekarang. Muka Sharifah Aini dah berubah berbanding sebelum ini. Perubahan ketara ialah pada bahagian pipi, dagu dan bibir. Bila muka artis berubah tak kiralah berubah jadi makin lawa atau sebalinya, orang ramai akan mula bercakap-cakap dan macam-macam andaian akan keluar. Perubahan muka Sharifah Aini menyebabkan orang ramai mula mengata yang dia buat teknik kecantikan atau suntikan botoks.

Sharifah Aini menafikan cerita-cerita tentang dia menggunakan botoks. Kata Sharifah Aini, perubahan itu adalah disebabkan kesan terhadap pengambilan steroid secara berterusan ekoran mengalami jangkitan paru-paru enam bulan lalu. Sharifah Aini kata memang muka dia kelihatan berisi dan mengembung. Semuanya ialah kesan daripada pengambilan steroid yang akan menyebabkan muka jadi ‘sembab’ dan bukannya kerana membuat apa-apa suntikan botoks ataupun lain-lain.

"Sebelum ini keadaan muka Kak Pah kelihatan lebih bengkak berbanding sekarang kerana pengambilan hampir 80 miligram steroid tetapi ia sudah beransur surut kerana pengambilan ubat tersebut telah dikurangkan kepada 5 miligram sahaja," kata Sharifah Aini.

Sharifah Aini juga kata yang wajahnya kelihatan jauh lebih muda daripada usianya kerana dia telah mengamalkan penjagaan kulit sejak berusia 18 tahun.

Sharifah Aini kata dia kecewa apabila ada pihak yang cuba memfitnahnya dengan menyebarkan berita tidak benar tentang perubahan wajahnya itu dan berharap tiada lagi pihak yang akan buruk sangka dengan pendedahan berkenaan. "Orang tidak tahu cerita, mereka mula menuduh perkara yang mereka sendiri tidak tahu keadaan sebenar. Tidak baik buruk sangka terhadap orang lain," kata Sharifah Aini.

Wednesday, 8 May 2013

Jimmy Shanley mohon penjarakan bekas isterinya sendiri

Akhbar KOSMO! melaporkan yang pelakon dan pengacara Jimmy Shanley (Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 32) telah memfailkan permohonan untuk mendapatkan perintah komital bagi memenjarakan bekas isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimi di atas dakwaan ingkar terhadap perintah mahkamah berhubung hak penjagaan anak mereka iaitu Zahrah Rania. Permohonan itu dibuat di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 7/5/13.

Kenapa mohon penjarakan bekas isteri?

Punca Jimmy Shanley bertindak demikian ialah kerana dia telah dihalang oleh Nursuhaila dari mengambil anaknya untuk bermalam bersamanya. Jimmy kata dia dihalang sebanyak tiga kali, walhal Mahkamah Tinggi pada 8 April lalu telah memutuskan yang hak lawatan dan bermalam selama tiga hari setiap minggu dengan anaknya diberikan kepada Jimmy Shanley. Apabila Nursuhaila menghalang Jimmy mendapatkan haknya, bermakna Nursuhaila telah engkar perintah mahkamah.

Menurut Jimmy Shanley, apabila dia hendak mengambil anak dia, ada sahaja alasan yang diberikan oleh bekas isterinya termasuk alasan berada di luar negara.

Dah buat laporan polis

Jimmy Shanley kata dia juga telah buat tiga laporan polis berhubung perkara itu.

Nursuhaila (foto atas) telah menfailkan permohonan untuk menggantung perintah mahkamah dan kes itu akan disebut pada Khamis (esok).

Kisah sebelum ini

Pada 8 April lalu, Hakim Syarie Mawardi iaitu Che Mant elah membuat keputusan untuk memberikan hak penjagaan penuh anak perempuan tunggal mereka kepada Nursuhaila. Sebelum itu, Nursuhaila ada memfailkan hadanah (hak jagaan anak) pada 18 Oktober 2011. Namun Jimmy membalas tindakan itu dengan mengemukakan bantahan berhubung kelayakan bekas isterinya itu untuk menjaga anak mereka.

Jimmy dan Nursuhaila telah mendirikan rumah tangga pada 1 Oktober 2010 di kediaman keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh. Kedua-dua mereka mula tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010, iaitu 20 hari selepas bernikah sebelum bercerai pada 10 Oktober 2012.

Monday, 6 May 2013

Memey nafi dia bertudung untuk join politik

Hubungan isteri Norman Hakim iaitu Memey Suhaiza (Suhaiza Suhaimi, 25) dikatakan semakin baik dengan Abby Abady (bekas isteri Norman Hakim). Semua orang dah tahu yang Abby dah bertudung dan aktif dalam politik bersama PAS sekarang ini. Memey pula dikatakan mula bertudung hasil dari nasihat-nasihat Abby. Dulu memang dua orang artis ni sering bertikam lidah di media. Abbylah yang lebih banyaknya 'menyerang' Memey dan Norman. Tapi itu cerita lama, masa Abby bengang dengan tindakan Norman main kayu tiga hingga mereka bercerai. Tapi sekarang mereka dah baik.

Memey mula pakai tudung ketika menghadiri majlis sukan anak tirinya, Mohamed Danish Hakim, 8 (anak Norman dan Abby), dan Memey mengakui selesa dengan imej tersebut. Abby (foto atas, kanan sekali) turut hadir dalam majlis tersebut. Sudah tentulah, sebab itu anak dia. Dua lagi anak tiri Memey ialah Marissa Dania Hakim (6 tahun), dan Maria Danisha Hakim (3 tahun).

Bila Memey bertudung saja mulalah media buat cerita yang Memey pun nak ikut jejak langkah Abby untuk menyertai politik.

Yang ini, Memey Suhaiza menafikan. Memey kata dia tidak pernah terfikir untuk bergiat aktif dalam dunia politik selepas mula bertudung. Memey kata dia hanya akan menjalankan tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia seperti keluar mengundi dan tidak berhasrat untuk mengikut jejak sesetengah artis yang aktif berpolitik selepas berhijrah (seperti Abby Abadi, Dayangku Intan dan Aisyah).

Kata Memey lagi dia tidak mahu dikaitkan dengan fahaman politik Abby Abadi walaupun keputusannya bertudung ada berkaitan dengan wanita berkenaan yang sering menasihatinya untuk berhijrah. Kata Memey, dia sangat terbuka dengan Abby yang tidak jemu-jemu menasihatinya. Lagipun kata Memey, ia adalah perkara yang baik dan mereka sering berbual tentangnya.

"Saya dan Abby tidak pernah berbual mengenai politik dan saya juga tidak mahu mencampuri urusan politiknya kerana itu adalah haknya dan saya hormati. Seperti yang saya katakan, saya tidak pernah berminat untuk bergiat aktif dalam dunia politik dan perubahan ini tiada kena mengena dengan perkara tersebut," kata Memey. Period.

Adira nafi guna teknik pemutih kulit

Penyanyi Adira (Siti Adira Suhaimi, 23) kata dia tak pernah buat sebarang teknik suntikan atau memakan apa-apa pil untuk menjadikan kulit dia putih melepak dan gebu.

Kata Adira, kulit dia memang semulajadi putih. Adira kata dia hanya menggunakan sejenis krim tapi itu adalah untuk menjaga kulitnya, dan bukan khusus untuk memutihkan.

"Saya memang dilahirkan dengan kulit yang putih dan ingin ditekankan bahawa saya tidak pernah melakukan sebarang teknik suntikan atau memakan pil untuk mendapatkan kulit putih dan gebu," kata Adira. Krim khas yang disapu kepada kulit itu bukan bertujuan untuk memutihkan kulit sebaliknya ia bertindak untuk mengekalkan kelembapan kulit yang sering terdedah kepada sinaran matahari. Itu ialah 'krim biasa' sahaja dan Adira yakin orang lain pun ada pakai krim kecantikan kulit macam tu.

Adira membuat penafian kerana ada sebuah tabloid mingguan yang mempertikaikan kenapa kulit Adira sangat ketara berubah warna berbanding pada awal kemunculannya sebagai artis sebelum ini.

Tapi Adira ada jawapan. Dia kata, mungkin faktor cuaca di tempat asalnya, Ranau, Sabah dengan Kuala Lumpur yang berbeza membuatkan kulitnya kelihatan berbeza ketika waktu itu dengan terkini. Lagipun setelah menjadi artis, Adira mengaku menjadi lebih bijak menjaga penampilan diri.

Tambah Adira, dia bukanlah seorang yang obses dalam bab kecantikan. Maknanya, dia bukan nak melawa secara keterlaluan. Tapi Adira kata sebagai selebriti dia perlu memastikan penampilannya sentiasa segar.